Saturday, June 28, 2008

Task Force Tanah Mula Berfungsi

Pada 16hb Jun lepas Menteri Besar sudah memanggil bermesyuarat semua pihak berkaitan dalam pentadbiran tanah negeri termasuk beberapa ADUN dengan Task Force Tanah di bawah kepimpinan Dato Dr. Tan Kwee Kwong dan Datuk Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof sebagai Pengerusi Bersama. Mereka juga telah melakukan beberapa mesyuarat dan meletakkan beberapa asas kerja untuk dituruti seterusnya.

Saya dapat menyaksikan semangat dan sikap yang lebih terbuka dikalangan pegawai negeri dan hadirin berbanding dengan apa yang saya dengar sebelum ini. MB sendiri sanggup berdepan dan tidak berkepentingan sendiri demi kepentingan rakyat. Saya tidak boleh mendedahkan butir-butir mesyuarat tersebut kerana sudah menuruti surat aku-janji menyimpan rahsia tugasan sehingga diumumkan secara rasmi nanti.

Cuma ingin memberitahu bahawa pihak pentadbiran dan pegawai SUK di sana bertungkus lumus menyiapkan pejabat kami seluas seribu setengah kaki lebih kurang lengkap dengan peralatan asas. Sign-board pun tengah dipesan oleh pihak pembangunan. Letterhead dan cop dijangka siap minggu depan.

Yang penting ialah Pejabat MB di tingkat 21 sudah mula menghantar kes-kes tanah secara telus dan langsung kepada pejabat kami. Tingkat 21 juga begitu terbuka tidak seperti pentadbiran sebelum ini dimana mahu naik tingkat 5 pun dikatakan agak payah dan melalui pelbagai protokol.

Juga ada orang awam yang sudah terbaca keujudan kami lalu datang terus tanpa pesan atau appointment. Petugas saya pun diberitahu saya (ramai yang sukarela dan juga dari NGO) supaya mempelawa semua kunjungan secara hormat tidak kira orang susah kampung macamana pun, dan mereka dibenarkan duduk dalam pejabat bila-bila masa untuk mengajukan kes-kes mereka. Mereka juga dibenarkan menggunakan mesin fotostat dan PC kita untuk menyiapkan maklumat.

Dalam kesibukan dan kadang-kala tidak terlayan ini, saya amat-amat meminta orang-ramai yang mampu membantu dan menggunakan internet supaya memberikan maklumat secara komen di bawah dan secara lengkap serta fakskan (jika satu dua helai) atau poskan ke alamat yang tertera pada blog ini. Saya tidak meletak apa jua sekatan dalam blog ini demi prinsip ketelusan yang diingini oleh kerajaan negeri.

Tetapi saya atau seketariat lain saya minta untuk memadamkan apa jua maklumat yang berbau fitnah, pihak ketiga atau tidak bertanggungjawab.

Kami juga telah menyusun program untuk turun melawat kawasan terutama yang panas-panas dan melibatkan salah-laku. Walaumacamanapun Task Force kita bukanlah untuk menjadi juruodit atau BPR. Ia adalah semata-mata menjadi sebuah badan kajian dasar dan kes dalam erti soal pengurusan dan pentadbiran hal ehwal tanah.

Kami juga mempelawa NGO dan badan berkaitan untuk mengemukakan memoranda kepada kami serta berjumpa berbincang kaedah yang boleh membetulkan keadaan tanpa prejudis dan memihak demi kepentingan rakyat dan masa depan isu tanah.

Akhir kajian kami adalah untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk memperbaiki sistem, prosedur dan amalan yang sedia ada. Ia memerlukan banyak kerjasama dan kami dapat merasai kerajaan dan pentadbiran di sini adalah amat bersungguh ke arah itu.

Antara perjumpaan awal kita dengan pihak pentadbiran jabatan negeri kita dapati bahawa kecekapan kerja amat bergantung kepada persiapan tempat, kemudahan dan perjawatanan serta sumber manusia. Maka perkara sedemikian akan diberi perhatian khusus dalam menangani permasalahan pentadbiran tanah secara jangka masa panjang disamping mengajukan cadangan jangkamasa pendek nanti.

Niat kerajaan negeri adalah ikhlas. Ia sudah keluarkan banyak belanja untuk menyediakan kemudahan dan keujudan Task Force ini. Kini tinggal kita untuk mengisi maksudnya yang sebenar.

Sebagai peringatan bahawa blog ini adalah tidak rasmi dan tidak dipertanggungjawabkan sebagai saluran rasmi Task Force Tanah. Ia adalah lebih sebagai ikthiar persendirian saya secara permulaan, saluran tidak rasmi dan adhoc demi memepergunakan kemudahan internet untuk lebih efisien dan pantas dalam menyalurkan maklumat kepada mana-mana pihak.

Urusan secara rasmi masih harus dipatuhi kerana akan mudah kecoh sekiranya tidak dipatuhi. Kita juga meminta kerjasama dan persefahaman rakyat Selangor bahawa memang terdapat banyak kes yang perlu perhatian. Kita perlu menyiasat setiap kes dengan teliti dan ia boleh mengambil masa. Kami bernasib baik kerana dibantu dan dianggotai dalam Task Force pakar-pakar bidang berkaitan tanah termasuk bekas DO, bekas pegawai tinggi dari kerajaan pusat dan professional undang-undang maupun berkaitan tanah.

Redhuan D. Oon
Setiausaha Eksekutif

Sunday, June 15, 2008

Selamat Datang ke Blog TASK FORCE TANAH

Salam sejahtera dan Selamat Datang diucapkan kepada semua. Kami adalah Seketariat Task Force Tanah yang akan menjadi urusetia dan membantu dalam segala urusan perhubungan serta perkembangan TASK FORCE TANAH.

Sila rujuklah ke blog ini untuk perkembangan terbaru. Orang-ramai juga boleh mengemukakan pandangan dan cadangan secara komen pada bila-bila masa.

Adalah diharapkan blog ini akan memainkan peranan yang positif dan membina dalam segala urusan kami. Akhir kata kami amat berharap kerjasama dari semua pihak demi kebaikan dan kepentingan rakyat jelata khususnya di Selangor ini dan secara amnya di peringkat negara.

Setiausaha Eksekutif,
Tingkat 5, Bangunan SSAAS, Shah Alam.